Wednesday, July 25, 2012

~~67 Tahun! {kerusi roda, masak lemak ikan tenggiri dan padang}




Jiwa masih longlai. Hati masih kosong. Sekosong padang bola depan rumah aku ni di bulan Ramadhan. Saat bangun pagi tadi seraut wajah terbayang di ruang mata. Almarhum Jalani Abdul Majid. Lelaki yang membawa aku ke muka bumi ini. Lelaki yang mengajar aku tentang erti hidup. Lelaki yang tak pernah putus sepanjang hayatnya menyalurkan kasih sayang.

Hari ini mengikut kad pengenalan almarhum, lelaki ini sepatutnya berusia 67 tahun dan 30 tahun daripada umurnya dihabiskan untuk anak gadisnya yang seorang ini. Maka hari ini aku yakin di pundak bahuku ini letaknya tanggungjawab meneruskan legasi dan tradisi almarhum. Malah, aku akui kebanyakan tindak tanduk ku menyamai kelakuan almarhum. Bonda Rahimah sendiri mengakuinya. Aku kasar seperti almarhum, aku mudah mesra dengan anak2 kecil seperti almarhum, cara aku bercakap seperti almarhum. Mana tidaknya, aku lah darah daging yang membesar di depan matanya.

Pesan almarhum, jangan tinggal solat, jaga mama, kahwin cepat, berjimat cermat, beli rumah, jangan berlagak macam orang kaya walaupun berduit.. terlalu banyak pesan almarhum.



Kali terakhir melihat wajahnya ketika almarhum masih bernafas, aku tukar lampin pakai buang dua kali, menyuap makanan ke bibirnya sekali, membasahkan bibirnya berkali-kali. Hanya itu yang aku berkesempatan aku lakukan, tak banyak bakti aku padanya. Pastinya dia berjuta-juta kali menyuap makanan ke mulut ku dan menukar lampinku.


Masakan terakhir aku untuk almarhum adalah masak lemak ikan tenggiri. Katanya jangan lupa letak asam keping lebih sikit baru sedap. Aku masak mengikut seleranya saat itu yang tak mahu sedikitpun cili dicampur. Segalanya aku turutkan.

Malam terakhir aku bermalam bersamanya, aku turutkan setiap permintaannya yang mahu beralih tempat dari kerusi ke kerusi ke tilam dan juga kerusi roda. Sukar sekali almarhum melelapkan mata tapi almarhum menyuruh aku tidur kerana menurutnya dia memang tak boleh tidur. Aku melelapkan mata di kaki almarhum. Seketika kemudian dia menggerakkan kaki tanda dia tak mampu tidur. lantas aku membuka mata dan tersenyum pada almarhum. Seketika kemudian almarhum tersenyum kembali padaku. Itulah kali terakhir aku melihat senyumannya.

Ya Allah terlalu banyak memori bersama almarhum.
Al-fatihah.
Tempatkan dia di kalangan orang-orang yang beriman.

A.B.A.H.. I love you more than I ever said to you!

No comments:

Post a Comment

About Me

My photo
Semenyih/ Pasir Gudang, Selangor/ Johor Bahru, Malaysia