Friday, August 10, 2012
~~Aidilfitri: 8 hari lagi
Sayu hati. Sayu sekali...
8 hari menjelang Syawal.
Selalunya aku sibuk mencari sesuatu sebagai buah tangan buat A.B.A.H. Tapi Syawal terakhir tahun lalu A.B.A.H tak mahu dibelikan apa-apa. Lalu aku hulurkan sejumlah wang untuk dia berbelanja. Tahun ini aku tak perlu lagi memperuntukkan apa-apa amaun untuk A.B.A.H. Cukup sekadar doa dan bacaan surah-surah suci sebagai hadiah. Hanya aku anaknya yang tinggal. Hanya dari aku doa seorang anak yang boleh melapangkan ruang persinggahan terakhirnya. Hanya ini cara aku boleh berhubung dan terus berbakti kepadanya.
Entah macam mana pagi Aidilfitri tahun ini. Tiada lagi tangan tua yang akan aku kucupi. Tiada lagi kata maaf yang akan aku ucapkan. Tiada lagi peluk cium dari tubuh tua A.B.A.H. Segalanya hanya tinggal kenangan yang tak mungkin dapat aku nikmati walau hanya sekali lagi.
8 hari menjelang Syawal.
Sedaya upaya aku tak mahu menampakkan rasa sedih dan kehilanganku. Aku cuba berlagak seperti biasa namun semakin anak bulan syawal hampir menjelma semakin hiba hati ini. Saat aku membayar zakat fitrah, aku hampir sahaja menitiskan air mataku kerana hati aku walang mengenangkan A.B.A.H yang selama ini bertanggungjawab melangsaikan tuntutan syariat itu. Saat aku berjalan seorang diri di pusat membeli belah, tika terlihat seorang tua berbaju belang , berkaca mata dan berkopiah hanya A.B.A.H yang terbayang di mataku. Seakan mahu meraung menyebakkan emosi. tapi aku teruskan juga langkah kerana aku tahu A.B.A.H tetap melihat anak gadisnya ini melangkah di muka bumi meneruskan legasinya.
8 hari menjelang Syawal.
Aku mahu terus gagah melangkah. Bukan mahu menipu diri tapi aku tidak selamanya boleh berada dalam ruang lingkup emosi dan jiwaku sendirian. Aku perlu terus tersenyum, tertawa bertemu dan bercerita dengan seluruh komuniti di sekeliling aku!
Semoga Syawal tahun ini masih punya sinar buat aku yang terlalu merindui insan yang teramat aku sayang. Allahu Akbar!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment