Aku agak teruja dengan isu ini. Mungkin kerana ianya sesuatu yang amat dekat dengan aku. Aku bergelar pendidik walaupun tidak berkait terus dengan pelajar-pelajar yang menggunakan Bahasa Inggeris untuk belajar Matematik dan Sains.
Aku adalah seorang guru Bahasa Inggeris, namun tidak bermakna aku mengenepikan bahasa ibunda ku (walaupun mak aku orang siam) sendiri. Malah aku suka berkarya menggunakan bahasa ibunda ku. Bagi aku bahasa ibunda ku, iaitu Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dan diletakkan di aras yang sepatutnya. Pada masa yang sama, bahasa penjajah, iaitu Bahasa Inggeris perlulah digunapakai dalam situasi yang memerlukan kita berkomunikasi dalam bahasa tersebut. Itu adalah pendapat peribadi aku.
Berbalik pada kisah PPSMI ini. Pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Ia dimulakan pada waktu aku baru sahaja mendapat segulung ijazah. Pada tika dan saat itu, segulung ijazah itulah yang aku gunakan untuk mencari arah perjalanan karier aku. Bagaikan satu kelebihan mempunyai ijazah dalam bidang pengajian Bahasa Inggeris apabila aku mendapat kepercayaan oleh jiran-jiran ku untuk membimbing anak-anak mereka bersedia menghadapi Pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Masalah yang aku hadapi ialah aku sendiri perlu belajar supaya aku juga mahir dengan perkataan-perkataan yang digunakan dalam buku-buku teks. Ini kerana perkataan-perkataan tersebut adalah 'jargon' (TESLians mesti tau kan?)Aku dapati agak sukar untuk menterjemah apa jua yang selama ini aku belajar dalam Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris. Ini kerana aku mempelajari Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu. Selain itu aku dapati perkataan Bahasa Inggeris yang digunakan dalam kedua-dua subjek ini hanya boleh digunakan untuk tujuan mempelajari subjek-subjek itu sahaja dan tidak boleh digunapakai dalam kehidupan seharian. Jadi, sekiranya dasar PPSMI ini ditubuhkan untuk memperkasakan bahasa tersebut dalam kehidupan pelajar, ia bukanlah satu langkah yang paling tepat. Mungkin ianya membantu namun bukanlah tindakan yang paling tepat.
Selain itu aku turut memikirkan kedudukan bahasa ibundaku, Bahasa Melayu sekiranya PPSMI diteruskan. Bagi aku, sekiranya ia diteruskan, tiada apa yang akan berlaku dengan SYARAT terdapat program-program yang berterusan untuk meletakkan Bahasa Melayu di lokasi yang sewajarnya. Apa yang dimaksudkan sebagai sewajarnya? Yang aku maksudkan sebagai sewajarnya ialah Masyarakat Malaysia amnya dan Melayu khususnya tetap menggunakan Bahasa Melayu sebagai medium untuk berkomunikasi di samping usaha yang berterusan agar bahasa ini tidak lumat dimamah arus kemodenan dan arus barat yang kian menular melalui muzik dan filem-filem. Memartabatkan Bahasa Melayu tidak hanya terletak pada pundak pendidikan sahaja malah penggiat seni (seni halus, seni tampak, seni persembahan dan lain-laia) harus memartabatkannya. Mungkin tidak wajar mencampur adukkan bahasa lain dalam muzik dan filem tempatan.
Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan untuk negara kita namun setiap rakyat di negara ini harus akur bahawa ianya tetap Bahasa Melayu dan bukannya Bahasa Malaysia. Ia haruslah dihargai dan digunakan oleh setiap insan yang bergelar rakyat Malaysia tanpa mengira di mana mereka berada. Bahasa Melayu milik setiap bangsa Malaysia walaupun namanya sendiri Bahasa Melayu.
Sebenarnya ada banyak lagi perkara yang menarik dalam isu ini namun aku tak mahu menjadi mangsa ISA. hahahha. Sekiranya ada pihak-pihak berkuasa terbaca blog ini aku berharap agar mereka mengerti bahawa aku sekadar menyampaikan apa yang terbuku di benaka ku tanpa niat untuk mencabar mana-mana pihak.
Aku percaya ada pihak-pihak dan badan-badan yang berupaya untuk mengkaji perkara ini sebelum ianya menjadi agenda petualang untuk membinasakan bangsa kita.
indahnya bahasa bila berbicara dengan emosi terkawal.. hehehe.. tak macam ain bila tulis pasal hal ni dlm emosi.. ngeh3..
ReplyDeleteya.. bahasa melayu takkan tergugat kerana ppsmi.. tapi kehebatan sains dan matematik di kalangan adik-adik dan anak-anak boleh jadi tergugat malah ada yang dah tergugat.. bahasa inggeris? sama je kes dengan bahasa melayu, boleh diperkasa dengan pelbagai cara..
peace!!